Idea U All...

Kalo kawan-kawan nak chat.. sila klik disini k...

ARKIB : 27/02/2010
KUALA TERENGGANU 26 Feb. - Kira-kira 6,000 pelajar sekolah, kebanyakannya pelajar sekolah menengah di negeri ini dikenal pasti pelajar berisiko kerana terbabit dalam pelbagai masalah disiplin terutama ponteng sekolah.
Jumlah itu adalah di antara kesemua kira-kira 250,000 pelajar sekolah di Terengganu dan selain ponteng sekolah, mereka turut terbabit dalam kegiatan lain termasuk merempit dan penyalahgunaan dadah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, bagi menangani masalah itu, pihaknya sedang mengatur strategi proaktif dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).
Malah jelasnya, beliau sendiri akan 'turun padang' ke sekolah-sekolah terbabit dalam waktu terdekat ini.
"Kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu pelajar berisiko seumpama ini dan saya sendiri akan turun padang ke sekolah-sekolah yang berkenaan dalam waktu terdekat ini, tujuan kita bukan untuk menghukum mereka tapi bantu mereka.
"Kita kena selesaikan masalah ini, 'lebih baik mencegah daripada merawat', jika kita dapat bendung masalah ini, kita juga dapat kurangkan gejala merempit dan jenayah lain yang dilakukan pelajar," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Negeri Terengganu 2010 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Pelajaran Terengganu, Arifiin Embong dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Nor Akmal Abdul Fatah.
Pesta buku yang berlangsung sehingga Selasa depan merupakan anjuran bersama kerajaan negeri, PPAT, JPNT, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan Persatuan Pengusaha Kedai Buku Melayu Terengganu.
Ahmad Razif memberitahu, masalah pelajar berisiko wajar ditangani segera bagi membendung gejala tersebut daripada menjadi lebih serius pada masa akan datang.
"Walaupun jumlah yang dikenal pasti itu tidak begitu ramai berbanding jumlah keseluruhan pelajar tapi jika ada seorang saja pelajar berisiko di sebuah sekolah, dia tentu memberi kesan kepada seluruh pelajar dan guru sekolah berkenaan," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment