Saya melayari utusan online, membaca berita yang boleh menambah pengetahuan dan untuk membaca cerita yang memberi pengajaran pada saya dan orang lain mungkin.....baca punya baca, saya tertarik dengan cerita yang ditulis oleh penulis ini........sehinggakan saya terfikir bagaimana saya sebagai bakal guru kaunseling dan juga sebahagian masyarakat memandang masalah ini.......
Oleh NORAINI ABD.
SELEPAS menjamu selera di Sundanese Restaurant KLCC, saya bersama seorang rakan dan seseorang yang sangat istimewa meluangkan masa window shopping sambil menyambung perbualan yang sememangnya tidak pernah habis.
Tiba-tiba tetamu istimewa yang sentiasa mendapat perhatian ramai itu menyuarakan hasrat ingin ke tandas.
Maklumlah, katanya dah berusia, kerap ke tandas adalah perkara biasa. Kami menunggu sambil mencuci mata lagi. Suasana di KLCC sesak dengan orang ramai. Kebiasaan waktu makan tengah hari agaknya. Lagi pun ekonomi Malaysia memang makmur. Biar pun ada unsur-unsur gawat, namun melihat kedai-kedai dan restoran mewah di sana-sini penuh dengan manusia, sukar nak terima hakikat kegawatan itu.
Atau mungkin yang gawat hanya ekonomi orang berpendapatan rendah. Mungkin juga di kampung-kampung. Sebab di kampung barangan yang dijual berkali ganda dari di bandar. Alasan kos pengangkutan dan seribu macam alasan lagi. Jadi orang kampung yang kecil pendapatan dan hidup sederhana terpaksa membayar lebih untuk meneruskan kelangsungan hidup. Agaknya begitulah.
Selepas beberapa minit menunggu, tetamu istimewa itu keluar dari tandas RM2. Mulutnya terkumat-kamit. Wajahnya mencuka. Alamak mesti ada yang tak kena. Mengenali wanita berhati waja itu, mesti ada yang tak berkenan di mata dan di hatinya menyebabkan beliau membebel.
Sebaik bertemu, sambil berjalan dia rancak bercerita. Tak sabar-sabar mahu berkongsi pengalaman di dalam tandas itu. Apa agaknya. Takkan tandas yang mengorbankan RM2 itu tidak bersih, itu memang mustahil. Takkan pula ada sistem yang tak betul. Tengok pada penampilannya masih anggun - tiada basah akibat percikan air. Tiada juga yang merosakkan rambutnya.
''Saya geram sangat. Ada dua budak perempuan buat kerja kat sebelah tandas yang saya gunakan.''
Lontaran kata-kata itu pantas mendapat respons kami. ''Kerja apa,'' soalan yang tak diketahui cerdik atau bodoh. Sebab mengetahui keadaan dalam tandas, hanya ada kerja-kerja yang perlu disempurnakan oleh cleaner. Kerja-kerja lain tidak terlintas pula di fikiran. Apatah lagi melibatkan dua budak perempuan.
''Saya sedang buang air, tiba-tiba dengar bunyi lain macam dari tandas sebelah. Saya mengintai dari bawah pintu tandas nampak perlakuan tak senonoh. Yang seorang kaki terangkat, yang seorang lagi duduk.
''Budak-budak tu paling-paling pun baru darjah enam atau tingkatan satu dah pandai buat macam-macam benda tak senonoh,'' bebelnya lagi.
Dia menyambung hikayat. Tidak senang dengan keadaan dua budak perempuan itu, dia segera keluar dari tandas dan mengetuk tandas tersebut. Dua orang budak perempuan tidak mengendahkan ketukan bertalu-talu, agaknya terlalu asyik. Mungkin juga takut mendengar suara makcik atau nenek membebel.
Diganggu
Tak puas hati, wanita itu memanggil tukang bersih tandas supaya mengetuk pintu dan memanggil keluar pasangan cilik itu. Agaknya tak tahan 'diganggu', dua budak perempuan itu keluar.
''Selamba ja muka dia orang. Ya Allah apalah nak jadi dunia ni. Mesti dia orang ni biasa tengok video lucah dan biasa buat benda-benda ni,'' katanya.
Mata wanita itu liar mencari pasangan darjah enam tadi. Mahu menunjukkan kepada kami anak-anak mentah yang telah pandai meneroka perlakuan sumbang orang dewasa.
Tiba-tiba kami tersentak. ''Ha itu dia orang,'' katanya sambil menuding jari dan memuncungkan bibir ke arah dua gadis yang sememangnya terlalu muda. Mereka erat berpegang tangan dan bersilih ganti saling merangkul pinggang. Seorang bertudung manakala pasangannya berlagak ala lelaki.
Saya mengimbau riwayat hidup ketika berada pada usia itu. Apa aktiviti saya semasa darjah enam atau tingkatan satu. Saya masih bermain kejar-kejar, galah panjang atau membaling tin dan selipar.
Saya masih galak memanjat pokok. Tiang-tiang di sekolah menjadi mangsa tempat kami memanjat.
Soal seks apatah lagi melibatkan pasangan sejenis sememangnya di luar kotak pengetahuan. Begitu juga yang menyanggah hukum alam. Kejahilan itu berlarutan sampai ke sekolah menengah. Jika mahu dikatakan saya tidak terdedah kepada bahan tontonan atau bacaan cinta, tidak juga. Pertengahan 70-an kami sudah mempunyai televisyen. Pada usia itu, saya menemani kakak menonton siri Peyton Place. Aksi romantik Ryan O'Neil (watak Rodney), Mia Ferrow (Allison) menjadi tontonan. Begitu juga cerita Kantonis bersiri yang menjadi kegilaan. Antaranya The Fate yang membariskan Chow Yuen Fatt dan Do Do Cheng. Ada kisah cinta di situ, ada adegan bercium. Begitu juga siri Man On The Net.
Bahan bacaan juga begitu. Saya membaca Badai Semalam, Sami Mekong (yang memaparkan adegan seks) dan pelbagai bahan bacaan lain.
Tetapi kesemua itu tidak mendorong saya untuk mengetahui lebih lanjut jauh sekali mencuba. Maklumat yang dipindahkan dari bahan tontonan dan bacaan ke sel-sel otak tersimpan di situ.
kawalan
Saya teringat membuat liputan di mahkamah juvenil. Seorang remaja berusia 13 tahun merogol adiknya yang baru mencecah sembilan tahun. Gara-gara keterlaluan menonton video lucah manakala ibu yang memenuhi tuntutan hidup bekerja kilang terpaksa meninggalkan anak-anak tanpa kawalan. Siapa yang mahu disalahkan?
Saya cuba membuat kesimpulan. Apa bezanya zaman saya dengan zaman teknologi maklumat yang menghambat dua anak gadis seusia anak teruna saya. Adakah keterujaan melampau mendorong mereka mencuba. Atau akibat kurang pengawasan ibu bapa.
Mungkinkah pengaruh rakan-rakan sebaya. Agaknya limpahan maklumat yang tidak terkawal menyebabkan sel-sel otak terpaksa memindahkannya kepada nafsu. Mungkin menjadikan otak tidak seimbang sehingga timbul perlakuan songsang.
Saya tidak dapat menyimpulkan kesemuanya. Tidak ada satu jawapan yang jitu. Mungkin ibu bapa tegas, tetapi pengaruh luar menjadi punca. Sebab itu apabila kecoh perihal gadis terlanjur membuang bayi, sukar untuk mencari salah siapa.
Remaja yang tidak cukup akal mengikut nafsu akhir menutup akal membuang bayi tersebut. Mustahil tidak ada belas atau ihsan biarpun belum bercambah rasa sayang, tetapi ada sesuatu yang membutakan hati dan perasaan menghalalkan perlakuan sedemikian.
Yang pasti ada sesuatu yang tidak kena pada sistem masyrakat dan kehidupan pada zaman melepasi alaf baru ini. Ada sesuatu yang kurang sehingga mencacatkan pembentukan masyarakat dan merosakkan usaha membanteras jenayah sosial.
Selepas 10 tahun melepasi cabaran pepijat alaf baru, dunia semakin dihantui 'pepijat-pepijat' yang menggigit secara halus tetapi meninggalkan kesan amat besar. Proses pembentukan masyarakat menjadi semakin songsang. Dan tanggungjawab kita untuk mencari kekurangan itu serta membetulkan masyarakat yang semakin menyimpang.
Dan apabila keadaaan seperti ini gagal diperbetulkan maka muncullah ideologi menyanjung pelakuan terlampau. Ketika mana pemimpin atau ketua yang rendah moralnya menjadi sanjungan. Segala perbuatan menjadi halal atas nama hak asasi yang hakikatnya tiada batasan.
0 comments:
Post a Comment