APAKAH semua persoalan keibubapaan yang melibatkan hubungan anak gadis harus dirujuk kepada pihak berkuasa tanpa ada rasa lebih prihatin dalam mengambil pendekatan lain yang lebih realistik untuk menanganinya? Apakah tidak ada tolak ansur antara kedua-dua belah pihak keluarga apabila berlakunya anak gadis lari dari rumah?.
Pada mulanya, saya terkesan dengan cinta gadis ini yang sanggup meninggalkan keluarganya untuk mengikut teman lelaki yang dicintainya. Tetapi, apabila ia bercanggah dengan budaya masyarakat dan agama, kes anak gadis lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki perlu ditangani dengan lebih serius.
Kes anak gadis meninggalkan rumah untuk menunjukkan kesetiaannya terhadap teman lelakinya pernah berlaku sebelum ini dan ia telah diwar-warkan di media cetak atau media elektronik. Biasanya, kes itu melibatkan lelaki asing khususnya dari Indonesia.
Kajian secara rambang telah dilakukan oleh sebuah akhbar tempatan kenapa gadis-gadis tempatan lebih meminati lelaki warga asing. Rata-ratanya lelaki terbabit dikatakan lebih pandai memikat dan mudah dalam 'menjaring' hati gadis-gadis tempatan dalam waktu yang singkat.
Adakalanya sikap kita sendiri yang terlalu meletakkan kepercayaan ke atas warga asing sehinggakan terdapat bayi dilarikan oleh warga asing. Malah, ada majikan yang dibunuh oleh pembantu rumah warga asing.
Biasanya, kita akan mulai bertindak apabila sesuatu musibah itu telah berlaku. Ini juga telah menjadi satu budaya. Saya melihat telah ada semacam kelunturan budaya dalam memupuk rasa kepatuhan kepada ibu bapa. Ini jelas apabila kita melihat ada anak sanggup membunuh ahli keluarganya tanpa mempunyai perasaan belas. Ada pula anak meninggalkan bapanya yang sakit di tepi jalan. Begitu juga ada anak yang tidak mahu mengaku ibu sendiri.
Kita juga dikejutkan dengan ibu bapa yang sanggup berlaku kejam terhadap darah dagingnya sendiri seperti meliwat anak kandung dan membakar anak sendiri. Kedua-dua fenomena itu menunjukkan nilai-nilai akhlak yang murni telah semakin terhakis sekali gus membuktikan kelemahan budaya bangsa itu sendiri yang mudah dijajah.
Dengan secara tidak langsung pula, ia memudahkan pihak tertentu 'menangguk di air yang keruh'.
Kita mulai menuding kepada pihak-pihak lain seperti pendedahan budaya yang kurang sihat menyerap masuk ke dalam budaya kita dan akhirnya melunturkan sama sekali budaya ketimuran kita.
Walaupun tindakan gadis itu agak drastik dan keluarganya tidak mahu menanggung malu, langkah yang diambil oleh gadis itu berjaya menginjak sikap ibu bapanya yang akhirnya menerima calon menantunya itu. Natijah daripada tindakan gadis itu, saya berpendapat, tindakan itu adalah pilihan terakhirnya setelah syarat-syarat ketat ke atas calon pilihan hatinya dikenakan oleh bapanya.
Gadis itu seolah-olah tidak nampak jalan lain yang ada di depan mata, maka terpaksalah dia lari mengikut teman lelakinya. Ibu bapa sering mengambil sikap 'tunggu dan lihat' semata-mata didorong oleh rasa ego diri. Pada masa yang sama, anak dan teman lelakinya terus mengukuhkan ikatan janji yang terlarang itu dengan bertindak nekad dengan lari rumah.
Ada baiknya kita melakukan pemantauan terhadap anak gadis kita sendiri. Walaupun kita menganggap mereka sudah 'besar panjang' dan telah pandai menjaga diri, implikasi mengambil mudah ke atas perkara ini tetap ada dan di luar jangkaan.
Ia mengingatkan saya sewaktu menjadi wartawan sambilan sebuah akhbar tempatan satu waktu dulu (tahun 1990-an) tentang ucapan seorang menteri di mana ibu bapa terlebih-lebih memberikan perhatian sewaktu anak-anak di sekolah rendah tetapi sebaliknya sewaktu anak-anak berada di sekolah menengah.
ISMAIL HASHIM
Port Dickson, Negeri Sembilan
ARKIB : 18/02/2010
0 comments:
Post a Comment